GPX Drone 150 2023 kini di pasaran Thailand, terima kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan elegan

GPX Thailand pada dua hari yang lepas dengan rasminya memperkenalkan model skuter terbaharu GPX Drone 150 2023, yang kini tampil dengan kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan elegan. Bagi varian Standard tanpa sistem kunci keyless, ianya tampil dengan satu pilihan warna Lightning Blue, dan ditawarkan dengan harga THB 77,500, bersamaan RM 9,662.63.

Bagi varian Keyless pula, model tersebut boleh didapati dalam dua pilihan warna Master Green dan Energetic Red, manakala untuk varian Keyless Special, dua pilihan warnanya yang lebih premium ialah Deep Wine dan Hyper Silver. Kedua-dua varian itu dilengkapi sistem kunci Keyless, dengan harga jualan yang sama iaitu sebanyak THB 79,500, bersamaan RM 9,911.99.

GPX Drone 150 2023 bagi ketiga-tiga varian iaitu Standard, Keyless dan Special Keyless, hanya berbeza dari segi kelengkapan sistem kunci dan pilihan warna sahaja. Spesifikasi yang lain adalah sama, seperti enjin 149.6cc (1-cylinder, 4-stroke, 4-valves, liquid cooled, fuel injection) yang dipadankan dengan transmisi CVT. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 7.5 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi model skuter tersebut termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu kecemasan, sistem kunci pintar Keyless dengan penggera anti-kecurian, panel meter digital sepenuhnya, kusyen tempat duduk yang tebal, luas dan selesa, dan ruang storan seluas 18 liter yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh.

Selain itu ianya turut dilengkapi dengan soket pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, suspensi belakang berkembar dengan ciri boleh laras (double spring preload 3 levels), brek cakera depan 260 mm dan brek cakera belakang 220 mm dengan sistem CBS (Combined Braking System), tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat hanya 140 kg (net weight).

GPX Drone 150 2023 berdiri di atas tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/90-R14 dan 110/80-R14. Untuk pasaran Malaysia pula, model yang sama iaitu SYM Jet X 150 telah dilancarkan secara rasmi pada bulan Mei 2021 yang lepas, dengan harga jualan asas ditetapkan sebanyak RM 8,888.00 untuk varian Standard, dan RM 9,188.00 untuk varian SE.

Bagaimanapun model yang ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini masih dilengkapi enjin dengan teknologi 2-valves, dan bukannya 4-valves seperti mana yang diperkenalkan untuk GPX Drone 150 di pasaran Thailand. Mungkin SYM Jet X 150 2023 akan diperkenalkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dengan enjin 4-valves dan pelbagai pilihan warna yang menarik.