Seperti mana yang diumumkan sebelum ini, CFMOTO Malaysia pada dua hari yang lepas akhirnya rasmi melancarkan model terbaharu CFMOTO 450SR 2023 untuk pasaran Malaysia. Tampil dengan dua pilihan warna, harga jualan asas untuk model sport bike itu ditetapkan sebanyak RM 29,300.00, dan bakal berada di pasaran mulai bulan Mac 2023 akan datang.
CFMOTO 450SR mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, yang kemudiannya dipadankan dengan enjin 450cc (parallel twin-cylinder engine, DOHC, liquid cooled) dan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 49.6hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 39Nm @ 7,600rpm, dan dikatakan mampu mencapai kelajuan sekitar 190 km/j +.
Pelbagai spesifikasi menarik yang melengkapi CFMOTO 450SR ini termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital TFT 5.0 inci, fork depan jenis upside-down, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan 320 mm dengan kaliper Brembo dan ABS, brek cakera belakang 220 mm, winglet untuk tahap aerodinamik optimum, dan tangki bahan api 14 liter.
CFMOTO 450SR seterusnya dilengkapi tayar depan dan belakang berprestasi tinggi masing-masing dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17, tinggi tempat duduk 795 mm, jarak kelegaan tanah 140 mm, dan berat hanya 168 kg (curb weight). Kepada semua peminat motosikal tempatan, tempahan untuk CFMOTO 450SR kini dibuka di semua wakil pengedar sah di seluruh negara.