Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 kini dipamerkan secara rasmi di MotoGP Malaysia 2022

Setelah lama menunggu dengan pelbagai spekulasi, akhirnya Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 kini rasmi dipamerkan di tapak pameran Kawasaki, bertempat di MotoGP Malaysia 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, dari 21 – 23 Oktober 2022 (Jumaat – Ahad). Model itu dipamerkan dalam dua skim warna iaitu KRT Edition dan Metallic Matte Graphene Steel Gray.

Menurut sumber dari rakan media, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 yang dipamerkan itu merupakan model yang ketika ini telah ditawarkan di pasaran Thailand. Namun bagi pilihan warna Metallic Matte Graphene Steel Gray, didapati ianya masih belum dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi Kawasaki Thailand, mungkin pilihan warna itu akan ditawarkan dalam tempoh terdekat ini.

Setakat ini dengan merujuk kepada beberapa sumber dari rakan media yang dipercayai tepat, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 untuk pasaran Malaysia akan dilancarkan sebagai model CKD mulai pertengahan tahun depan, dengan harga jualan yang begitu kompetetif. Lebih menarik, pasaran Malaysia dikatakan bakal menerima tiga varian kesemuanya seperti di pasaran Indonesia iaitu Standard, ABS SE dan juga varian premium Ninja ZX-25RR.

Untuk pasaran Malaysia juga, oleh kerana ianya akan dipasang oleh Modenas sebagai model CKD, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 akan dikenali dengan nama baharu Modenas Ninja ZX-25R 2023. Ianya adalah sama seperti mana pelancaran model-model Kawasaki yang lain dengan enjin di bawah 650cc, yang ketika ini menggunakan nama Modenas sebagai pengenalannya.

Untuk makluman berdasarkan maklumat rasmi seperti mana yang dipaparkan melalui galeri di bawah, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 untuk pasaran Malaysia hanya akan menerima enjin 250cc empat silinder dengan jumlah kuasa maksimum 46PS @ 15,500rpm dan tork maksimum 22Nm @ 12,500rpm, berbanding angka 51PS untuk model yang ditawarkan di pasaran Indonesia.

Perubahan tersebut disebabkan oleh piawaian emisi Euro 5 untuk pasaran Malaysia, Thailand dan Jepun, manakala pasaran Indonesia dikatakan masih menggunakan piawaian emisi Euro 4. Untuk maklumat selanjutnya mengenai spesifikasi penuh dan ciri-ciri terbaharu yang ditawarkan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 kali ini, anda boleh layari tiga artikel terdahulu seperti di bawah:

Artikel berkaitan :

Sumber rujukan : paultan.org & pandulaju.com.my