KTM 890 Adventure R 2023 diperkenalkan dengan naik taraf terkini lebih signifikan

Pada pertengahan bulan September 2022 yang lepas, model kembara lasak terbaharu KTM 890 Adventure R 2023 rasmi diperkenalkan, dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih signifikan. Antaranya termasuklah fork depan WP XPLOR dan suspensi belakang WP XPLOR PDS yang boleh dilaraskan sepenuhnya, kini telah ditala semula untuk prestasi yang lebih baik.

Talaan semula sistem suspensi itu adalah dengan merujuk kepada jentera KTM 450 RALLY, begitu juga dengan rekaan fairing, tangki bahan api dan cowling baharu, yang kini telah meningkatkan lagi ciri aerodinamik dan ergonomiknya. Turut berubah ialah windshield baharu yang kini lebih rendah, di samping fender depan dan pelindung enjin yang kini direka lebih tinggi.

KTM 890 Adventure R 2023 seterusnya dilengkapi panel instrumen TFT 5.0 inci baharu dengan sambungan USB-C, paparan piktogram berwarna dan grafik yang intuitif untuk navigasi mudah bagi setiap menu. Sebagai tambahan, naik taraf terkini telah membolehkan paparan sistem navigasi belok demi belok dan juga fungsi panggilan keluar dengan 10 nombor maksimum.

Selain itu, KTM telah menambah unit kawalan ABS generasi terbaharu yang mengambil maklumat dari sensor 6D, agar daya brek digunakan dalam jumlah yang betul dalam pelbagai situasi. Penunggang juga boleh memilih mod OFFROAD ABS yang diintegrasikan dalam OFFROAD MODE, atau pilihan RALLY MODE tanpa perlu memilih OFFROAD ABS secara berasingan.

Berdasarkan gambar-gambar dalam galeri di bawah, KTM 890 Adventure R 2023 tampil dengan tayar baharu Mitas ENDURO TRAIL+ secara kombo untuk versi antarabangsa dan Eropah. Untuk pasaran Amerika, model adventure tersebut didatangkan dengan lampu penunjuk arah LED yang lebih besar, berbanding lampu LED yang lebih kecil untuk pasaran antarabangsa.

Selanjutnya ialah KTM 890 Adventure R kini memiliki DEMO MODE baharu, yang buat pertama kalinya dapat dilihat melalui model tahun 2023 ini. Melalui mod baharu itu, penunggang boleh memanfaatkan semua spesifikasi dan pilihan untuk jarak 1,500 km pertama, serta merasai sendiri kebolehan jentera itu, sebelum memutuskan pek atau ciri mana yang dimahukan.