Honda Super Cub 110, Cross Cub 110 dan Cross Cub 110 Kumamon 2022 terima naik taraf terkini di pasaran Jepun

Pada bulan April yang lalu, Honda Super Cub 110 2022, Honda Cross Cub 110 2022 dan Honda Cross Cub 110 Kumamon 2022 telah menerima beberapa naik taraf terkini untuk pasaran Jepun. Di bahagian enjin, ketiga-tiga model tersebut kini telah dilengkapi enjin baharu yang patuh piawaian emisi terkini di Jepun, iaitu bersamaan piawaian emisi Euro 5 di pasaran Eropah.

Selain itu, sistem brek cakera di bahagian roda depan kini telah menjadi ciri standard, yang turut dilengkapi sistem ABS satu saluran. Tayar depan dan belakang pula kini menggunakan rim aloi dan tayar tanpa tiub yang lebih mudah diselenggara. Panel meter kini mempunyai ciri-ciri baharu seperti paparan posisi gear, jam dan juga tahap purata penggunaan bahan api.

Honda Super Cub 110, Honda Cross Cub 110 dan Honda Cross Cub 110 versi Kumamon, ketiga-tiganya dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 109cc (air-cooled, 4-stroke, OHC single cylinder) dengan transmisi empat kelajuan. Prestasi yang dihasilkan mencapai 8.0PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.8Nm @ 5,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.1 liter.

Honda Super Cub 110 mempunyai ketinggian tempat duduk 738 mm dan berat 101 kg, manakala ketinggian tempat duduk dan berat Honda Cross Cub 110 ialah 784 mm dan 107 kg. Di pasaran Jepun, harga yang ditawarkan untuk Honda Super Cub 110 ialah 302,500 Yen, untuk Honda Cross Cub 110 ialah 363,000 Yen, dan 374,000 Yen untuk Honda Cross Cub 110 Kumamon.

Galeri : Honda Super Cub 110 2022

Galeri : Honda Cross Cub 110 2022

Galeri : Honda Cross Cub 110 Kumamon 2022