Kawasaki W175 2023 dilancarkan di pasaran India, harga bermula dari RM 8,318.56

Kawasaki baru-baru ini rasmi melancarkan model terbaharu Kawasaki W175 2023 untuk pasaran India. Model tersebut tampil dalam dua pilihan varian, Standard dengan warna Ebony dan Special Edition dengan warna Candy Persimmon Red, masing-masing dengan harga jualan sebanyak Rs. 1,47,000 (RM 8,318.56) dan Rs. 1,49,000 (RM 8,431.74).

Kawasaki W175 2023 dikuasakan enjin bersesaran 177cc (Air-cooled, 4-stroke Single Cylinder, SOHC, 2 valves) dengan sistem suntikan bahan api Fuel Injection, dan dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 13PS @ 7,500rpm dengan tork puncak 13.2Nm @ 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan api model retro itu ialah 12 liter.

Dibangunkan di atas kerangka Double Cradle Frame, model seberat 135 kg (curb mass) itu dilengkapi fork depan teleskopik 30 mm dengan gandingan suspensi belakang jenis berkembar (hydraulic type dual rating spring shock absorbers, 5 way adjustable preload). Seterusnya sistem brek cakera depan 270 mm (dual-piston caliper) lengkap dengan ABS Single Channel, manakala di bahagian belakangnya ialah sistem brek jenis dram.

Kawasaki W175 2023 menggunakan tayar depan bersaiz 80/100-R17 dan tayar belakang bersaiz 100/90-R17. Tinggi tempat duduk model tersebut ialah 790 mm, sementara jarak kelegaan bumi 165 mm. Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model tersebut termasuklah lampu depan yang terang (60W headlamp) dan speedometer semi digital yang bergaya retro.