Penampakan terkini unit ujian Yamaha Sirius FI di Malaysia, pelancaran rasmi dijangka pada hujung tahun ini

Pada bulan April 2022 yang lalu, buat pertama kalinya unit ujian Yamaha Sirius FI telah berjaya di kesan di atas jalan raya di negara kita Malaysia. Terbaru unit ujian berkenaan telah berjaya dikesan buat kali kedua, dua unit sambil ditemani oleh dua buah motosikal moped Yamaha yang lain, di atas lebuh raya berdekatan Sungai Buloh, Selangor.

Setakat ini apa yang boleh diramalkan ialah Yamaha Sirius FI yang kini dijual di pasaran Vietnam, mungkin bakal menggantikan model Yamaha Lagenda 115Z. Pelancarannya pula dijangka akan berlangsung secara rasmi pada penghujung tahun ini. Atau mungkin juga ianya merupakan model terbaharu yang akan dijual bersama-sama Lagenda 115Z.

Namun apa yang diharapkan ialah harga yang bakal ditawarkan untuk model Yamaha Sirius FI ini akan kekal mampu milik. Sejak kebelakangan ini harga model-model kapcai dan moped keluaran Yamaha telah meningkat begitu ketara sekali. Di pasaran Vietnam, Yamaha Sirius FI versi teratas dijual sebanyak VND 23,800,000 (RM 4,617.94) sahaja.

Imbas kembali maklumat mengenai enjinnya, iaitu bersesaran 113.7cc (empat lejang, 2-injap, SOHC, sejukan udara, sistem suntikan bahan api) dengan gandingan transmisi 4-kelajuan. Janaan maksimum yang dihasilkan mencapai 8.7PS @ 7,000rpm dengan tork maksimum 9.5Nm @ 5,500rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 4.0 liter.

Sumber : Paultan.org