Kawasaki Motor Indonesia siarkan video teaser pelancaran model baharu, adakah ianya Kawasaki Ninja ZX-4R?

Pada beberapa bulan yang lepas, dikhabarkan bahawa Kawasaki bakal melancarkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R 2023, yang dikatakan bakal berlangsung pada hujung tahun ini iaitu dalam suku keempat 2022. Nampaknya laporan tersebut mungkin benar, kerana Kawasaki Motor Indonesia baru saja menyiarkan sebuah video teaser.

Berdasarkan video teaser berkenaan yang dapat dilihat melalui channel rasmi YouTube Kawasaki Indonesia, kelihatan paparan huruf ZX yang mungkin merujuk kepada Ninja ZX-4R. Namun setakat manakah kebenarannya, kita perlu menunggu sehingga model tersebut dilancarkan secara rasmi pada tarikh 01hb. Oktober 2022 (Sabtu) akan datang.

Kawasaki Ninja ZX-4R jika benar ianya dilancarkan nanti, akan dikuasakan enjin dalam sesaran 400cc dengan konfigurasi empat silinder. Enjin berprestasi tinggi itu dikatakan mematuhi piawaian emisi terkini, dengan pasarannya akan meliputi pasaran yang lebih luas. Adakah ianya juga akan masuk ke pasaran Malaysia, sama-samalah kita tunggu.