Di pasaran Malaysia, model naked Aprilia Tuono 660 dilancarkan pada bulan Jun 2021 yang lalu, dengan harga asasnya sebanyak RM 77,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Sementara itu untuk pasaran antarabangsa, Aprilia Tuono 660 Factory 2022 telah rasmi diperkenalkan, kini tampil lebih ringan dan lebih berkuasa.
Menurut Aprilia, model tersebut kini mempunyai berat hanya 181 kg (kerb weight), hasil daripada penggunaan bateri lithium yang ringan, yang menyumbang pengurangan berat sehingga 2 kg (berat model standard 183 kg). Jumlah kuasa daripada enjinnya pula kini meningkat kepada 100hp, berbanding 95hp. Jumlah tork pula kekal pada angka 67Nm.
Selain itu, jentera berprestasi tinggi itu kini turut menerima peningkatan sistem suspensi yang lebih sofistikated, untuk tunggangan sports yang lebih baik. Fork depan Kayaba 41 mm pada model tersebut mempunyai ciri boleh dilaraskan sepenuhnya, manakala untuk bahagian belakangnya, suspensi daripada Sachs juga mempunyai ciri boleh dilaraskan.
Aprilia Tuono 660 Factory 2022 turut menerima penambahbaikan yang lebih agresif dan sporty melalui penggunaan corak grafik Factory Dark, di samping kehadiran ‘single-seat tail fairing’ berwarna hitam dan merah, yang dibekalkan standard bersama-sama tempat duduk penumpang dan ‘footpegs’. Pemijak itu sama seperti pada model Aprilia RS 660.