Zontes 350E 2022 kini di pasaran China, harga RM 19,889.22

Zontes sebelum ini telah memperkenalkan dua buah model skuter maxi, Zontes 310M dan Zontes 350D. Kini sebuah lagi model terbaharu telah dilancarkan di pasaran China, dikenali dengan nama Zontes 350E 2022. Harga jualan yang ditawarkan untuk pasaran China ialah sebanyak CNY 30,800.00, bersamaan nilai RM 19,889.22 (kadar semasa).

Melihat kepada penampilannya, Zontes 350E kelihatan lebih moden dan futuristik. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 349cc (single cylinder, liquid cooled, SOHC) dengan sistem BOSCH EFI dan transmisi automatik. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 36hp @ 7,500rpm dengan tork 38Nm @ 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 16 liter.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang ditawarkan melalui Zontes 350E ini adalah seperti teknologi keyless generasi 3.0, sistem sambungan melalui aplikasi pintar, dua jenis mod tunggangan E (Comfort) dan S (Sport), TCS (Traction Control System), panel meter TFT berwarna sepenuhnya, sistem lampu LED, dan dua port pengecas USB Type A dan C.

Untuk keselamatan, sistem brek cakera depan (kaliper radial dengan empat piston) dan belakang Zontes 350E didatangkan dengan ABS Dual Channel. Sementara itu, tuil brek mempunyai fungsi parking untuk lebih kemudahan. Turut melengkapi ialah TPMS (Tyre Pressure Monitoring System), handlebar dengan ciri pemanas dan pelindung tangan.

Menjadikan tunggangannya lebih selesa, Zontes 350E mempunyai tempat duduk yang empuk bagaikan sofa. Ruang storan di bawah tempat duduk pula boleh memuatkan dua buah helmet bermuka penuh, di samping ruang storan depan kiri dan kanan yang luas. Kamera depan dan belakang pula merupakan pilihan, atau boleh dipasang kemudian.

Zontes 350E menggunakan tayar depan bersaiz 120/70-15 dan tayar belakang bersaiz 140/70-14. Tinggi tempat duduknya berada pada paras hanya 770 mm, manakala jarak kelegaan bumi minimum ialah 155 mm. Untuk pasaran Malaysia, model skuter keluaran Zontes ini tentunya mempunyai permintaan, namun belum pasti bila akan dilancarkan.