Zontes ZT125-GK 2022 kini di pasaran UK, harga bersamaan RM 18,291.60

Pasaran UK menawarkan pelbagai model-model menarik keluaran Zontes, termasuklah model terbaharu Zontes ZT125-GK 2022. Model tersebut mempunyai dua pilihan warna menarik, dengan harga jualannya ditetapkan sebanyak £3,499.00, bersamaan nilai RM 18,291.60 mengikut kadar semasa. Tempoh jaminannya pula adalah selama 2 tahun.

Zontes ZT125-GK boleh dipanggil sama ada sebagai sebuah model naked, sportscafe atau pun street scrambler. Reka bentuknya tampil sporty dan moden. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 124.7cc (single cylinder, SOHC, 4-valve, water cooled) dengan sistem Bosch EFI, seterusnya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dan Slipper Clutch.

Enjin bertaraf Euro 5 itu menghasilkan kuasa maksimum 14.5hp (10.8kW) @ 8,500rpm dengan tork 13Nm @ 7,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 17 liter. Sistem suspensinya ialah fork depan USD 38 mm dan suspensi belakang monoshock, bersama-sama swing arm aloi aluminium yang ringan dan kuat.

Untuk ciri keselamatan terbaik, Zontes ZT125-GK dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel. Melengkapkan lagi spesifikasi menariknya ialah rim aloi yang ringan dengan tayar depan bersaiz 110/70-R17 dan belakang 130/70-R17, tinggi tempat duduk 770 mm, jarak kelegaan bumi 225 mm, dan berat keseluruhan motosikal hanya 160 kg.

Kemudahan lain yang tersedia termasuklah Gen 2.5 Keyless Control System, pelbagai jenis butang pada handlebar dengan ciri ‘press to cancel functionality’ dan ‘LED switch backlight display’, panel meter digital LCD, sistem lampu LED, Dual Fast Charging USB Ports, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), dan juga silencer ekzos yang sporty.