Sehingga ke hari ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih lagi belum memberikan sebarang petunjuk bilakah model kapcai terbaharu Yamaha Sirius FI akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Pada bulan April yang lalu, spyshot model tersebut telah berjaya dirakamkan sedang menjalani sesi tunggang uji, berdekatan Sungai Buloh, Selangor.
Sementara itu di pasaran Vietnam, Yamaha Sirius FI 2022 terbaharu dalam ketiga-tiga versi baru saja diperkenalkan, kini tampil dengan skim warna dan grafik terbaharu yang lebih menarik dan sporty. Versi yang dipaparkan melalui artikel ini ialah versi brek depan cakera dengan rim berjejari, yang ditawarkan dalam empat pilihan warna kesemuanya.
Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Sirius FI 2022 ini ditawarkan dengan harga sebanyak VND 22,000,000.00, bersamaan nilai RM 4,224.74 mengikut kadar semasa. Spesifikasi teknikal yang melengkapinya termasuklah enjin 113.7cc (4-stroke, 2-valve, SOHC, air-cooled) dengan transmisi empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 8.7PS @ 7,000rpm dengan tork 9.5Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya ialah 4 liter.
Antara kelebihan Yamaha Sirius FI 2022 di pasaran Vietnam ini ialah lampu depan dan belakang yang terang, ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk, lampu signal terbina dalam, rantai dengan penutup, dan sistem ekzos dengan ciri yang lebih senyap. Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita tunggu pelancaran rasmi model kapcai ini.
Sumber gambar : Minh Long Motor (Vietnam)