Yamaha YZF-R25M dengan enjin 250cc empat silinder dikhabarkan sedang dalam fasa pembangunan

Selepas Kawasaki Ninja ZX-25R berjaya di pasaran, kini timbul pula ura-ura mengenai pelancaran model terbaharu Honda CBR250RR-R, yang akan turut menggunakan enjin 250cc empat silinder. Jika laporan itu menjadi kenyataan, ini bermakna Yamaha dengan model YZF-R25 seolah-olah telah ketinggalan, apabila kekal dengan enjin dua silinder.

Namun tahukah anda sejak pertengahan tahun 2020 yang lalu, spekulasi pembangunan model terbaharu Yamaha YZF-R25M dengan enjin 250cc empat silinder, telah tersebar di dalam internet dan media sosial. Namun selepas itu, tiada lagi berita susulan tentang model berkenaan, menyebabkan ramai peminat telah hampir-hampir melupakannya.

Walau pun begitu menurut maklumat terkini, pembangunan Yamaha YZF-R25M masih lagi berjalan di dalam fasa seterusnya. Perkara tersebut tidak mustahil kerana Yamaha, sama seperti Kawasaki dan Honda, telah tiba masanya untuk mereka memperkenalkan semula model Yamaha FZR250R, yang kali terakhir diperkenalkan pada tahun 1994.

Adalah suatu kerugian jika Yamaha hanya membiarkan sahaja penguasaan Kawasaki dan Honda dalam segmen sportbike 250cc empat silinder, sedangkan populariti model-model di dalam segmen tersebut semakin meningkat dan mendapat permintaan ramai. Jentera 250cc empat silinder lebih berprestasi dengan bunyi ekzos yang lebih garang.

Apa yang boleh diramalkan ialah Yamaha mungkin akan memperkenalkan model yang dinanti-nantikan itu, pada tahun 2023 atau 2024. Dengan enjin yang berkuasa, prestasi keseluruhan yang dipertingkatkan dengan pelbagai teknologi canggih, pastinya Yamaha YZF-R25M akan memberikan saingan yang sengit kepada ZX-25R dan CBR250RR-R.

Galeri : 1993 Yamaha FZR250R

Galeri : 1994 Yamaha FZR250R