Model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-6R KRT Edition 2023 bakal tiba di pasaran Jepun secara rasmi, pada tarikh 01hb. Oktober 2022 akan datang. Harga jualannya ditetapkan sebanyak 1,408,000 Yen, bersamaan nilai RM 44,398.64 (kadar semasa). Pilihan warna tunggal yang ditawarkan ialah Lime Green / Ebony (KRT Edition versi paling terkini).
Dari segi penampilan dan reka bentuknya, Kawasaki Ninja ZX-6R ini tidak menawarkan sebarang perubahan terkini, begitu juga dengan spesifikasi teknikalnya. Model tersebut kekal menjadi sebuah jentera berprestasi tinggi bertaraf litar yang sporty dan agresif. Di pasaran Malaysia, unit yang masih ada ditawarkan dengan harga asas RM 79,900.00.
Kawasaki Ninja ZX-6R KRT Edition 2023 dilengkapi enjin 636cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-cylinder, DOHC, 16-valves) yang menghasilkan 126PS @ 13,500rpm dan tork puncak 70Nm @ 11,000rpm, dengan padanan transmisi enam kelajuan. Berat penuh motosikal itu ialah 197 kg, antaranya disumbangkan oleh tangki petrol dengan kapasiti 17 liter.
Pelbagai spesifikasi menarik yang melengkapinya termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter (KQS), Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode, Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), fork depan daripada SHOWA SFF-BP 41 mm, lampu depan dan belakang LED, serta instrumen digital LCD pelbagai info.
Kawasaki Ninja ZX-6R seterusnya menggunakan tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 830 mm, sementara jarak kelegaan tanah minimum 130 mm. Untuk peminat yang mementingkan kelajuan, Ninja ZX-6R ini mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 280 km/j.
Sumber gambar : Kawasaki1ban.com