Pada bulan Julai 2022 yang lepas, Honda di pasaran Filipina telah melancarkan sebuah model kapcai terbaharu iaitu Honda Wave RSX 2022. Model tersebut ditawarkan dalam dua pilihan varian, brek dram dan brek cakera, pada harga P61,900.00 (RM 4,904.45) untuk varian brek dram, dan P64,900.00 (RM 5,142.15) untuk varian brek cakera.
Honda Wave RSX 2022 dilengkapi enjin yang cekap dan ekonomi, dengan penggunaan bahan apinya berada pada tahap 67.8 Km/L. Enjin 109cc (4-Stroke, SOHC, Air-Cooled) itu dilengkapi teknologi PGM-Fi, dengan kuasa maksimum 8.66hp @ 7,500rpm dan tork maksimum 8.7Nm @ 6,000rpm. Enjin itu dipadankan kotak gear empat kelajuan rotary.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut antaranya ialah sistem kunci dengan ciri keselamatan dan diintegrasikan dengan pembuka tempat duduk, panel meter sporty, ruang barangan di bawah tempat duduk yang luas, penutup rantai penuh, brek cakera depan (hanya varian brek cakera), dan lampu depan AHO (Automatic Headlight On).
Honda Wave RSX 2022 menggunakan tayar depan dan belakang yang bersaiz masing-masing 70/90-17 dan 80/90-17. Akhir sekali model dengan berat 99 kg (curb weight) itu turut dilengkapi sistem penghidup jenis elektrik dan tendang, serta tangki petrol 4.0 liter. Menarik juga kalau model kapcai terbaharu ini turut dilancarkan di pasaran Malaysia.