GPX POPz 125 2022 kini di pasaran Greece, harga bersamaan RM 10,614.66

GPX Thailand baru-baru ini rasmi memperkenalkan model kapcai GPX Rock 125 2022 untuk pasaran Greece. Selain itu, terdapat sebuah lagi model kapcai yang ditawarkan di pasaran negara Eropah itu, iaitu GPX POPz 125 2022. Mempunyai empat pilihan warna menarik, harga yang ditawarkan ialah sebanyak €2,325.00, bersamaan RM 10,614.66.

GPX POPz 125 tampil bergaya klasik dengan penampilan yang ranggi, dan dikuasakan enjin bersesaran 125cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, air-cooled, EFI) dengan kotak gear empat kelajuan. Enjin yang cekap dan ekonomi itu patuh piawaian emisi Euro 5. Model seberat 105 kg itu kemudiannya dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti 4.0 liter.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi GPX POPz 125 adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan 220 mm dengan sistem CBS, lampu depan dan lampu belakang LED dengan rekaan unik, tempat duduk fleksi, panel meter semi-digital pelbagai info, serta turut dilengkapi rim roda aluminium unik bersaiz 17 inci.

Perincian lain pada model berkenaan ialah ekzos dengan penutup krom, menggunakan rantai DID bersaiz 428D yang berkualiti dan lebih selamat, dan penampilan keseluruhan yang memikat dan diserikan lagi oleh logo POPz yang menyerlah. Di pasaran Malaysia, GPX Malaysia menawarkan model GPX POPz 110, dengan harga jualan RM 5,200.00.