Aprilia RSV4 XTrenta 2022 diperkenalkan dalam edisi terhad 100 unit, jentera litar terbaharu yang serba canggih

Pada awal bulan ini, Aprilia memperkenalkan sebuah jentera istimewa iaitu Aprilia RSV4 XTrenta 2022, dalam edisi terhad 100 unit sahaja. Khusus untuk tunggangan litar, harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak € 50,000.00 (tidak termasuk VAT), bersamaan nilai RM 227,032.00. Tempahan secara online dibuka bermula 06hb. September 2022.

Menurut Aprilia, RSV4 XTrenta diperkenalkan untuk meraikan kejayaan pertama dalam merangkul kejuaraan dunia pada 30 tahun yang lepas, melalui penunggang Alessandro Gramigni (1992 MotoGP). Dibangunkan oleh Noale Racing Department, spesifikasinya dikatakan sangat hampir dengan jentera MotoGP yang digunakan dalam perlumbaan.

Antaranya seperti penggunaan carbon fairing yang dihasilkan oleh Pan Compositi, dan ianya turut dilengkapi sayap depan rekaan baharu, termasuklah sayap belakang serba baharu sepenuhnya pada bahagian ekor. Lebih dari itu, RSV4 XTrenta menjadi jentera motosikal pertama di dunia yang dilengkapi dengan ‘under wing’ pada swingarmnya.

Sayap bawah yang sebelum ini melengkapi jentera RS-GP dari tahun 2019 itu biasanya dikenali dengan nama ‘spoon’. Hasilnya ialah peningkatan ciri aerodinamik sehingga 25 peratus dan pengurangan geseran sehingga 4 peratus. Dengan beratnya hanya 166 kg dan mempunyai kuasa maksimum 230hp, ianya merupakan gabungan yang sempurna.

Aprilia RSV4 XTrenta seterusnya dilengkapi sistem ekzos titanium dan carbon dari SC Project, penapis udara dari Sprint Filter, radiator air dan minyak dari Taleo Tecnoracing, unit kawalan ECU dari Magneti Marelli yang ditala khas, sistem transmisi menggunakan sprocket titanium buatan PBR (eksklusif untuk RSV4 XTrenta), dan rangkaian elektronik pada model sporty berkenaan diuruskan melalui panel perlumbaan daripada JetPrime.

Pilihan aksesori seperti footpegs, handlebar levers dan CNC fuel cap pula dari jenama Spider. Di bahagian casis, ianya disempurnakan oleh suspensi Ohlins yang diperhalusi oleh Andreani dengan kolaborasi jurutera Aprilia MotoGP. Sistem brek daripada Brembo yang bersepadu dengan GP4-MS billet monobloc calipers dan cakera 330 mm T-drive.

Pada bahagian roda, Aprilia RSV4 XTrenta dibekalkan sepasang rim forged magnesium Marchesini M7R GENESI, dengan gabungan tayar licin Pirelli Diablo SBK dalam ukuran 120/70 dan 200/65 (with SC-1 compound front and SC-X compound rear). Pengurangan berat roda pada model itu dikatakan sekitar 2.0 kg berbanding dengan model standard.