Sejak pelancaran Kawasaki Ninja ZX-25R dengan enjin 250cc empat silinder, ramai peminat motosikal yang tertanya-tanya adakah Honda akan turut mengeluarkan model yang hampir sama? Harus diakui selepas tibanya ZX-25R, Honda CBR250RR dengan enjin dua silinder secara tiba-tiba seolah-olah kehilangan magisnya di mata peminat.
Padahal sebelum ini CBR250RR merupakan salah sebuah model sportbike 250cc yang menjadi idaman ramai, memandangkan model itu hadir dengan spesifikasi yang cukup mantap, dan bersama-sama enjin paling berkuasa di dalam kelasnya. Namun benarlah, empat silinder lebih baik daripada dua silinder, berdasarkan dari pandangan peminat.
Adakah Honda akan menyerah kalah dengan mudah? Mustahil. Honda mempunyai egonya yang tersendiri, serta mereka juga pernah mengeluarkan model 250cc empat silinder suatu ketika dahulu, misalnya model CBR250, CBR250R dan CBR250RR yang dikeluarkan sejak pertengahan 1980an sehinggalah sampai ke pertengahan 1990an.
Jadi disinilah timbulnya spekulasi bahawa Honda bakal memperkenalkan sebuah model terbaharu yang lebih menarik berbanding CBR250RR, dan ianya akan dikenali dengan nama Honda CBR250RR-R. Dikhabarkan model tersebut akan dikuasakan enjin dalam konfigurasi 250cc empat silinder berprestasi tinggi, sama seperti model Ninja ZX-25R.
Perkhabaran ini pada mulanya dicetuskan oleh majalah permotoran terkenal dari Jepun iaitu Young Machine. Sama ada mereka mempunyai bukti kukuh atau pun tidak, ianya tidak lagi penting. Ini kerana Honda semestinya tidak akan berdiam diri sambil berpeluk tubuh sahaja, dan melihat jentera mereka dimalukan oleh pencabarnya dari Kawasaki.
Berdasarkan maklumat terawal dari Young Machine sebelum ini, Honda CBR250RR-R dengan enjin 250cc empat silinder ini akan mengikut jejak langkah abangnya yang lebih besar iaitu CBR1000RR-R, bermakna ianya akan mempunyai spesifikasi premium dan juga kuasa yang impresif. Namun persoalannya bilakah model itu akan diperkenalkan?
Setakat ini berdasarkan maklumat yang masih belum dapat disahkan dari rakan media dari negara seberang Indonesia iaitu TMCBlog.com, Honda CBR250RR-R ini mungkin akan dilancarkan di Litar Motegi, Jepun, pada bulan September 2022. Bagaimanapun, ini hanyalah khabar angin sahaja, jadi mungkin ianya benar, dan mungkin juga tidak.