Yamaha RX-Z merupakan salah sebuah model motosikal popular di pasaran Malaysia. Bagaimanapun disebabkan pengeluarannya telah lama ditamatkan, model dengan enjin dua lejang itu kini menjadi semakin ‘rare’ dan sukar didapati di pasaran. Namun untuk anda yang berminat, model tersebut masih boleh dimiliki dengan harga ‘berpatutan’.
Terkini, laman Facebook NA Blasting, Tyres & Services telah menyiarkan iklan untuk menjual Yamaha RX-Z keluaran 2009, lengkap dengan rim asli GTO dan nombor plat istimewa satu angka VGH 2, pada harga RM 180k sahaja. Harga jualan itu kedengaran agak sedikit tinggi, namun tidaklah menjadi masalah untuk pembeli bertaraf pemberani.
Untuk anda yang mahukan model Yamaha RX-Z pada harga lebih rendah, NA Blasting, Tyres & Services juga turut menawarkan jualan dua buah model itu secara kombo pada harga jualan serendah RM 160k sahaja. Kedua-dua model keluaran tahun 2007 – 2008 itu turut dilengkapi sport rim AR125/KH100 asli, dengan nombor istimewa dua angka.
Jadi pilihan terserah di tangan anda, untuk memilih model yang berwarna biru dengan harga RM 180k, atau membeli dua buah model secara kombo, pada harga jualan yang lebih rendah iaitu RM 160k. Mungkin jika anda tidak mempunyai wang tunai di tangan, geran tanah atau geran rumah tentunya boleh digunakan untuk belian secara ‘barter’.
Galeri : Yamaha RX-Z 2009 (RM 180k)
Galeri : Yamaha RX-Z 2007 – 2008 (RM 160k)