Yamaha Motor Brazil baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah model terbaharu iaitu Yamaha Fazer FZ15 ABS 2023. Apa yang menarik perhatian ramai ialah model tersebut kini tampil dengan rekaan kepala dan lampu depan baharu, menjadikan penampilannya lebih agresif. Lampu depan itu turut dilengkapi lampu LED jenis projektor yang terang.
Selain itu, Yamaha Fazer FZ15 ABS 2023 ini turut didatangkan pelbagai ciri-ciri menarik seperti panel meter digital LCD sepenuhnya dengan paparan gear, jam dan fungsi ECO, lampu belakang LED, brek cakera depan dengan ABS, brek cakera belakang, suspensi belakang monocross, tangki bahan api 11.9 liter, dan tiga pilihan warna yang menarik.
Di bahagian enjin, ianya berkapasiti 149cc (SOHC, 2 valve, 4 stroke, Air cooled) dengan transmisi lima kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 12hp @ 7,500rpm bagi kegunaan petrol, dan 12.2hp @ 7,500rpm apabila menggunakan etanol. Keluaran tork untuk kedua-dua penggunaan bahan api petrol dan etanol ialah 12.7Nm @ 6,000rpm.
Yamaha Fazer FZ15 ABS berdiri di atas sepasang tayar bersaiz lebar daripada PIRELLI DIABLO ROSSO II, dengan saiz 100/80-R17 di depan dan 140/60-R17 di belakangnya. Tinggi tempat duduk model tersebut berada pada paras 790 mm, dengan berat 135 kg. Untuk pasaran Brazil, harga jualan yang ditetapkan ialah R$ 16,990.00 (RM 15,118.25).