Honda CB300R 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 19,119.47

Pasaran Thailand baru-baru ini secara rasminya telah menerima pelancaran model Neo Sports Cafe terbaharu Honda CB300R 2022. Tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Dusk Yellow, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, model tersebut ditawarkan dengan harga THB 155,200.00, bersamaan RM 19,119.47.

Honda CB300R 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 286cc (liquid-cooled, 4-valve, DOHC, single-cylinder) bertaraf Euro 5, dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 30.7hp @ 9,000rpm, dengan tork 27.5Nm @ 7,750rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 10 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi model berkenaan, antaranya seperti panel meter digital LCD dengan penunjuk gear, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan terbalik 41 mm, ‘Tapered Rubber-Mounted Handlebar’, suspensi belakang monoshock dengan ‘7-step Preload Adjustment’, dan juga rekaan muffler ekzos baharu yang lebih sporty.

Sistem brek cakera Honda CB300R di bahagian depan didatangkan dalam saiz 296 mm (hubless floating disc with radial-mount Nissin 4-piston caliper), sementara di bahagian belakangnya ialah cakera 220 mm dengan kaliper piston tunggal. Sistem brek tersebut lengkap dengan ABS dual-channel yang dikawal oleh IMU (Inertial Measurement Unit).

Tayar depan dan belakang jenis radial tampil dalam ukuran 110/70-R17 dan 150/60-R17 masing-masing. Tinggi tempat duduk 799 mm, manakala berat keseluruhannya 144 kg. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda tidak menawarkan Honda CB300R 2022 ini, sebaliknya menawarkan model Honda CB250R 2022, dengan harga RM 23,999.00.