Sempena dengan penyertaan CFMOTO di dalam perlumbaan MotoGP dalam kategori Moto3 pada tahun ini, syarikat pengeluar motosikal yang berasal dari negara China itu kini memperkenalkan model CFMOTO 250SR Racing PrüstelGP Limited Edition 2022. Untuk pasaran China, harga yang ditawarkan ialah CNY 22,980.00 (RM 14,939.77).
CFMOTO 250SR Racing PrüstelGP Limited Edition 2022 ini tampil dengan skim warna sporty yang diilhamkan daripada jentera Moto3 pasukan CFMOTO-Racing Pruestel GP. Model berkenaan pula sebenarnya diasaskan daripada model CFMOTO 250SR Track Edition 2022, yang didatangkan dengan beberapa ciri dan spesifikasi yang menarik.
Antaranya adalah seperti fork depan upside down berwarna emas, suspensi belakang mono buatan KYB, brek cakera depan 292 mm dan belakang 240 mm dengan ABS, paparan digital TFT 5.0 inci dengan sistem T-BOX generasi kedua, sistem lampu LED, carbon winglet, single arm (lengan ayun jenis sebelah), serta tangki bahan api 12 liter.
Turut melengkapi ialah dua mod tunggangan Sport dan Eco, tayar depan dan belakang berukuran 110/70-R17 dan 140/60-R17, tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat 157 kg. Enjinnya 249cc (single cylinder, liquid cooled, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan, yang menjana prestasi maksimum 28.83hp @ 9,750rpm dan tork 22.5Nm @ 7,500rpm.