Yamaha YZF-R1M 2023 masih diteruskan jualannya di pasaran USA, namun ianya kini hadir dengan harga jualan terkini $26,999.00, bersamaan nilai RM 121,090.51 mengikut kadar mata wang semasa. Harga tersebut didapati telah meningkat sebanyak $700.00, berbanding Yamaha YZF-R1M 2022 yang ditawarkan pada harga $26,299.00. Kenaikan harga untuk model supersport itu juga pastinya ada kaitan dengan kadar inflasi semasa.
Walaupun mengalami peningkatan harga, Yamaha YZF-R1M 2023 masih mengekalkan spesifikasi teknikal dan skim warna yang sama seperti mana model tahun sebelumnya. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC, 4-Cylinder) dengan janaan maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork puncak 113.3Nm @ 11,300rpm. Enjin itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.
Berbanding YZF-R1, YZF-R1M dibangunkan dengan binaan badan unik menggunakan material gentian karbon yang ringan, yang turut melibatkan beberapa bahagian seperti fender depan, fairing skrin penghadang angin, fairing sisi dan termasuklah di bahagian ekor belakang. Menjadikannya lebih ringan ialah tangki bahan api daripada aluminium, selain didatangkan dengan lencana bernombor eksklusif di atas penutup kotak udara.
Selanjutnya, Yamaha YZF-R1M turut dilengkapi sistem suspensi perlumbaan premium daripada Öhlins, Brake Control (BC) dengan ciri dua mod, Engine Brake Management (EBM) tiga mod, pendikit ride-by-wire APSG yang sangat ringan, sistem Launch Control (LCS) yang telah dioptimumkan, Up and Down Quick Shift System (QSS) dan integrasi eksklusif teknologi Communications Control Unit (CCU) data-logging and GPS system.
Yamaha YZF-R1M seterusnya dilengkapi sistem lampu LED, paparan instrumen digital TFT berwarna sepenuhnya, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, dan sepasang tayar Bridgestone® RS11 yang sentiasa bersedia bukan sahaja di jalanan, malah ketika memecut di litar. Tayar berkenaan dipasangkan pada rim cast magnesium yang ringan. Dengan tangki bahan api 17 liter, berat jentera sport itu hanyalah 202 kg (wet weight).