Yamaha Tricity 300 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran Eropah

Untuk pasaran Eropah, salah sebuah model skuter bercirikan roda tiga yang ditawarkan oleh Yamaha Motor Europe ialah Yamaha Tricity 300 2022. Model berkenaan kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Petrol Blue dan Sand Grey yang lebih menarik dan segar, di samping satu pilihan warna dari musim sebelumnya iaitu Gunmetal Grey.

Dari segi penampilannya, Yamaha Tricity 300 merupakan sebuah model Leaning Multi-Wheel (LMW) yang kelihatan moden dan dinamik. Ianya dikuasakan enjin BLUE CORE berkapasiti 292cc (4-valves, 4-stroke, Single cylinder, Liquid-cooled, SOHC) yang patuh piawaian emisi Euro 5, dengan janaan kuasa maksimum 27.62hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 29.0Nm @ 5,750rpm. Sistem transmisinya merupakan V-Belt Automatic.

Yamaha Tricity 300 menawarkan kemasan premium yang berkualiti, enjin berkuasa dan ekonomi, dengan keselesaan, kawalan dan kemudahan maksimum terutamanya untuk tunggangan di kawasan bandar. Ianya dikatakan mempunyai jumlah berat paling ringan di dalam kelasnya, tangkas dan mudah dikendalikan, serta mudah untuk diparkir. Ruang storannya juga luas dan praktikal, boleh mengisi sehingga dua helmet bermuka penuh.

Di samping itu, Yamaha Tricity 300 turut didatangkan bersama-sama sistem lampu LED, paparan instrumen LCD pelbagai info, operasi Smart Key yang memudahkan, pengecas telefon, tangki bahan api seluas 13 liter, sistem brek ABS dengan Unified Brake System, TCS (Traction Control System), dan sistem Standing Assist yang membantu Tricity 300 kekal tegak pada tempatnya, ketika berhenti di lampu isyarat atau pun persimpangan.

Yamaha Tricity 300 2022 mempunyai ketinggian tempat duduk 795 mm, jarak kelegaan tanah minimum 130 mm, berdiri di atas tayar depan dan belakang dengan saiz masing-masing 120/70-R14 dan 140/70-R14, dan mempunyai berat 239 kg (wet weight). Untuk pasaran Malaysia, belum ada maklumat sama ada ianya akan dilancarkan oleh HLYM.