Kawasaki Z125 Pro 2023 diperkenalkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 13,662.36

Motosikal mini Kawasaki Z125 Pro 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran Indonesia, dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Metallic Ocean Blue. Harga jualannya ditetapkan sebanyak Rp. 45,400,000.00, bersamaan RM 13,662.36 (nilai semasa). Untuk pasaran Malaysia, ianya mungkin akan menjadi model Modenas Z125 Pro 2023 tidak lama lagi.

Berdasarkan maklumat daripada Kawasaki Motor Indonesia, Kawasaki Z125 Pro 2023 ini masih kekal dengan spesifikasi teknikal yang sama. Ianya dilengkapi enjin 125cc (4-stroke, 1 cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled) dengan kotak gear empat kelajuan, yang menjana kuasa maksimum 9.4PS @ 7,500rpm dan tork setinggi 9.5Nm @ 6,000rpm.

Sebagai sebuah model motosikal yang lincah dan mudah dikendalikan, Kawasaki Z125 Pro dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal, tayar dalam ukuran 100/90-12 (depan) dan 120/70-12 (belakang), serta sistem brek cakera (petal-style disc) dalam diameter 200 mm di bahagian depan dan 184 mm pada bahagian belakangnya.

Kawasaki Z125 Pro 2023 ini seterusnya mempunyai ketinggian tempat duduk 780 mm, dengan jarak kelegaan bumi 155 mm. Paling penting, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 7.4 liter, cukup besar untuk jarak tunggangan yang lebih jauh. Berat keseluruhan jentera mini bike ini pula berada pada paras hanya 101 kg (curb weight).