Aveta Motor Malaysia pada bulan Julai 2022 yang lalu rasmi melancarkan model super moped terbaharu Aveta SVR180 2022 untuk pasaran tempatan. Pada masa yang sama syarikat itu turut melancarkan sebuah model kapcai terbaharu, Aveta VS2 2022 dengan enjin 115cc. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.
Menurut maklumat daripada wakil penjual, Aveta VS2 2022 ini ditawarkan dengan harga jualan asas sekitar RM 4,200.00 sahaja. Dengan reka bentuknya yang sporty dan tampil dengan brek cakera depan, ianya bakal menjadi satu lagi pilihan menarik untuk pasaran tempatan. Namun penampilan Aveta VS2 kelihatan seperti pernah dilihat sebelum ini.
Jika tidak salah, Aveta VS2 2022 ini merupakan model yang sama seperti mana model kapcai Ottimo Viz 110, yang telah berada di pasaran tempatan sejak beberapa tahun yang lepas. Kedua-dua model itu sama ada Aveta VS2 atau Ottimo Viz 110, merupakan motosikal yang diimport dari China dan dijenamakan semula untuk pasaran Malaysia.
Setakat ini maklumat lengkap mengenai model kapcai terbaharu Aveta VS2 2022 masih belum dikeluarkan oleh Aveta Motor Malaysia. Oleh itu untuk anda yang berminat, boleh kunjungi mana-mana cawangan wakil penjual sah Aveta yang berdekatan untuk melihat model itu dengan lebih dekat, dan juga bagi mendapatkan harga jualan yang sebenar.
Sumber gambar daripada laman FB Ng Brothers & Sons, QJ Motor HP Loan, Sin Hock Hung dan AB MOTOR Enterprise