Yamaha baru-baru ini telah mengumumkan Yamaha NMAX ABS 2022 di pasaran Jepun akan tiba dengan tiga pilihan warna terbaharu, mulai tarikh 30hb. September 2022. Tiga pilihan warna terbaharu itu ialah Matte Dark Green, White dan Matte Dark Gray. Harga jualan pula kekal tidak berubah iaitu sebanyak 368,500 Yen, bersamaan RM 12,179.09.
Spesifikasi teknikal Yamaha NMAX ABS 2022 di pasaran Jepun juga kekal sama seperti mana model tahun 2021. Antaranya termasuklah enjin 125cc VVA dengan janaan kuasa maksimum 12PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 11Nm @ 6,000rpm. Jumlah kapasiti tangki bahan apinya ialah 7.1 liter, sama seperti model Yamaha NMAX 155 ABS 2022.
Yamaha NMAX ABS 2022 di pasaran Jepun merupakan versi premium dengan pelbagai spesifikasi serba lengkap. Ianya dilengkapi sistem Yamaha Y-Connect, Smart Key, TCS (Traction Control System), Smart Motor Generator, sistem Stop & Start, ruang bagasi 23 liter, soket pengecas DC 12V, paparan meter digital LCD sepenuhnya dan lampu LED.
Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor tidak menawarkan model Yamaha NMAX dalam versi 125cc, sebaliknya hanya menawarkan versi 155cc sahaja. Model itu baru-baru ini telah dilancarkan dalam versi 2022, dengan pilihan warna terbaharu Matte Green dan Matte Blue. Harga jualan asasnya telah ditetapkan sebanyak RM 9,498.00.