Yamaha Motor Vietnam pada pertengahan bulan Julai yang lalu secara rasminya telah memperkenalkan sebuah model kapcai terbaharu untuk pasaran Vietnam, iaitu Yamaha Jupiter Finn 2022. Model tersebut sebelum ini telah diperkenalkan di pasaran Thailand, dan ianya dikenali dengan nama Yamaha Finn 2022 sahaja, tanpa kata nama Jupiter.
Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Jupiter Finn ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Premium, di mana varian premium mempunyai tempat duduk serta panel dalaman yang lebih mewah. Spesifikasi lain kekal sama, termasuklah sistem brek UBS (Unified Brake System) yang mampu membrek dengan lebih baik dan lebih selamat.
Yamaha Jupiter Finn dikuasakan enjin bersesaran 113.7cc (single cylinder, 4-stroke, 2-valve, SOHC, air-cooled, EFI) dengan gandingan transmisi 4-kelajuan. Enjin itu mampu menjana kuasa maksimum 9.0PS @ 7,000rpm dengan tork 9.2Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 4.0 liter sahaja, namun tahap ekonomi model kapcai serba moden itu dikatakan mampu mencapai sehingga 1.64L / 100km.
Yamaha Jupiter Finn seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dipadankan dengan brek dram di bahagian roda belakang. Tinggi tempat duduk Yamaha Jupiter Finn ialah 775 mm. Tayar depan dan belakangnya masing-masing bersaiz 70/90-17 dan 80/90-17.
Sebagai sebuah model kapcai yang praktikal, Yamaha Jupiter Finn dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik. Antaranya ialah lampu depan yang sentiasa menyala, kluster lampu belakang yang elegan dan terang, rekaan panel meter yang moden, poket depan serba guna, storan di bawah tempat duduk yang luas dan tempat duduk yang selesa.
Bagi varian Standard, Yamaha Jupiter Finn 2022 didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik, diikuti varian Premium dengan empat pilihan warna kesemuanya. Harga jualan yang ditetapkan adalah sebanyak VND 27,500,000 (RM 5,238.14) untuk varian Standard, dan VND 28,000,000 (RM 5,333.38) untuk varian Premium (kadar semasa).
Galeri : 2022 Yamaha Jupiter Finn (Standard)
Galeri : 2022 Yamaha Jupiter Finn (Premium)