Dalam bulan Julai 2022 yang lepas, model skuter terbaharu Honda Click160 2022 rasmi dilancarkan di pasaran Kemboja dan Filipina. Model berkenaan sebelum ini dilancarkan buat pertama kalinya di pasaran Indonesia, dengan nama Honda Vario 160 2022, dan selepas itu ianya dilancarkan pula di pasaran Thailand sebagai Honda Click160 2022.
Untuk pasaran Kemboja dan Filipina, Honda Click160 ditawarkan dalam versi standard sahaja iaitu dengan sistem brek CBS (Combined Braking System), tanpa pilihan sistem brek ABS seperti mana di pasaran Indonesia dan Thailand. Spesifikasi dan ciri-ciri yang lain adalah sama, seperti enjin eSP+ 156.93cc dengan teknologi canggih empat injap.
Melengkapkan lagi spesifikasi pada model skuter sporty itu ialah kerangka berteknologi tinggi eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) terbaharu, sistem kunci pintar, sistem lampu LED, paparan panel meter digital, pengecas USB, ruang storan di bawah tempat duduk yang luas, sepasang tayar bersaiz lebar dan tiga pilihan warna yang menyerlah.
Dengan pelancaran Honda Vario 160 di pasaran Indonesia, Honda Click160 di pasaran Thailand, Kemboja dan Filipina, ini bermakna ianya juga berkemungkinan besar bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Namun setakat ini masih belum ada sebarang maklumat mengenai pelancarannya daripada pihak Boon Siew Honda.