Harley-Davidson Malaysia baru-baru ini pada tarikh 02hb. Julai 2022, secara rasminya melancarkan model terbaharu Harley-Davidson Nightster 2022. Pelancaran rasmi bagi model berkenaan telah diadakan bertempat di acara tahunan Art of Speed Malaysia kali ke-10, di MAEPS Serdang, yang diadakan pada 2 dan 3 Julai 2022 (Sabtu dan Ahad).
Untuk pasaran Malaysia, Harley-Davidson Nightster ini didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Redline Red, Gunship Gray dan Vivid Black. Harga jualannya pula bermula dari RM 93,900.00. Di bahagian enjin, ianya dikuasakan enjin Revolution Max 975T bersesaran 975cc, yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 90hp @ 7,500rpm dengan tork setinggi 95Nm @ 5,000rpm. Harley-Davidson Nightster menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road Mode, Sport Mode dan juga Rain Mode. Untuk keselamatan, ianya dilengkapi teknologi yang dipanggil Rider Safety Enhancements, yang merangkumi Antilock Braking System (ABS), Traction Control System (TCS) dan Drag-Torque Slip Control System (DSCS).
Melengkapkan lagi model itu ialah sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, fork depan SHOWA Dual Bending Valve, suspensi belakang jenis berkembar (pre-load adjustment), speedometer analog berdiameter 4.0 inci yang mempunyai paparan digital di dalamnya, tinggi tempat duduk yang selesa pada paras 705 mm, tayar depan bersaiz 19 inci, tayar belakang bersaiz 16 inci, dan termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya.
Tangki bahan api yang melengkapi Harley-Davidson Nightster 2022 mempunyai kapasiti 11.7 liter, dan ianya terletak di bawah tempat duduk untuk agihan berat yang lebih baik. Rekaan tangki bahan api konvensional yang dapat dilihat pada Nightster itu sebenarnya menempatkan air box. Berat keseluruhan model cruiser sporty berkenaan ialah 218 kg.