Yamaha MT-09 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran Malaysia, harga kekal RM 54,998.00

Pada pertengahan bulan Jun baru-baru ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengumumkan kemaskini dua pilihan warna baharu untuk model Yamaha MT-09 2022. Kedua-dua warna baharu itu ialah Cyan Storm dan Tech Black, yang kini tampil lebih sporty dan segar. Harga jualan asasnya pula kekal tidak berubah iaitu RM 54,998.00.

Imbas kembali spesifikasi teknikalnya, Yamaha MT-09 2022 ini dikuasakan enjin 889cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) dan bertaraf Euro 5. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Quick Shift System (QSS) untuk operasi penukaran gear yang lebih lancar dan pantas.

Enjin berprestasi tinggi itu menjana kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 93Nm @ 7,000rpm. Yamaha MT-09 2022 dilengkapi tangki bahan api 14 liter, ketinggian tempat duduk 825 mm, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17 masing-masing, dan berat keseluruhannya hanyalah 189 kg (wet weight).

Spesifikasi lengkap lain termasuklah unit IMU 6-axis, Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF), Brake Control (BC), fork depan jenis terbalik 41 mm KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang KYB boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter TFT 3.5 inci dan lampu LED sepenuhnya.

Untuk ketenangan minda pemiliknya, Yamaha MT-09 2022 didatangkan dengan tempoh jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan, yang mana tiba dahulu. Dengan setiap pembeliannya, HLYM menawarkan cenderahati menarik berupa kunci cakera Yamaha yang diberikan percuma, untuk ciri keselamatan yang lebih baik.