HLYM bakal melancarkan model terbaharu Yamaha M Series, adakah ianya Yamaha YZF-R15M 2022 serba baharu?

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada dua hari yang lepas telah menyiarkan sebuah video teaser terkini, mengenai sebuah model terbaharu yang bakal dilancarkan dalam bulan Jun ini. Walaupun tiada kelibat model motosikal tersebut di dalam video teaser itu namun HLYM dengan jelas mengumumkan bahawa ianya merupakan model M Series.

Sebelum ini dalam bulan April 2022 yang lepas, kelibat model motosikal terbaharu iaitu Yamaha YZF-R15 V4 (Version 4.0) dalam versi M telah pun berjaya dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di Malaysia. Jadi besar kemungkinan itulah model terbaharu M Series yang bakal dilancarkan oleh HLYM untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R15M Connected-ABS 2022 dan Yamaha YZF-R15M Connected-ABS WGP 60th Anniversary masing-masing mempunyai tanda harga sebanyak THB 135,000 (RM 16,763.71) dan THB 137,000 (RM 17,012.06). Jadi harga jualan untuk pasaran Malaysia nanti juga dijangka akan berada pada paras yang sama.

Buat masa ini HLYM belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran model Yamaha M Series 2022, namun ianya dijangka akan berlangsung pada minggu depan. Dikuasakan enjin bersesaran 155.09cc VVA dengan Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter, Traction Control System (TCS) dan ABS Dual Channel, model ini tentunya bakal menggegar.