Zontes baru-baru ini telah melancarkan sebuah model skuter maxi terbaharu di pasaran China, dan ianya dikenali dengan nama Zontes 350D 2022. Model tersebut mempunyai penampilan yang lebih sporty dan bergaya jika dibandingkan dengan model sebelum ini iaitu Zontes ZT310M, yang pernah dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Harga jualannya di pasaran China ialah CNY 28,800, bersamaan nilai RM 18,896.93.
Zontes 350D mempunyai empat pilihan warna yang menarik, dan ianya dilengkapi enjin bersesaran 349cc (single cylinder, liquid cooled, SOHC, fuel injection BOSCH). Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik, dan menghasilkan kuasa maksimum 36.2hp @ 7,500rpm dengan keluaran tork maksimum 38Nm @ 6,000rpm.
Spesifikasi standard Zontes 350D yang lain termasuklah tangki bahan api 12 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan dan belakang, ABS dua saluran, tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-R15 dan 140/70-R14, tempat duduk 760 mm, sistem lampu LED sepenuhnya, dan panel meter digital pelbagai info.
Sebagai sebuah model skuter maxi yang serba moden, Zontes 350D tampil dengan ciri-ciri menarik seperti sistem kunci keyless 3.0, dua mod tunggangan ekonomi dan sport, panel meter digital dengan sambungan ke telefon bimbit menggunakan aplikasi Zontes, dua port USB untuk pengecasan pantas, sistem pemantauan tekanan angin tayar, skrin penghadang angin boleh laras elektrik, serta tuil brek yang dilengkapi fungsi parking.
Untuk kemudahan tambahan, Zontes 350D mempunyai ruang storan di bawah tempat duduknya yang mampu memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh. Dengan gaya dan reka bentuk yang sporty dan moden, Zontes 350D ini dijangka mempunyai pasaran yang luas, bukan saja di pasaran China, tetapi juga termasuklah di pasaran Malaysia.