Yamaha Tricity 155 2022 terima naik taraf terkini di pasaran Eropah

Selain daripada Yamaha Tricity 125 2022, pasaran Eropah pada masa yang sama turut ditawarkan model Yamaha Tricity 155 2022. Berbanding Tricity 125 dengan enjin 125cc, Tricity 155 memiliki enjin 155cc (4-stroke, liquid-cooled, SOHC, single cylinder, 4-valves, VVA,  Euro 5) yang menghasilkan 14.9hp @ 8,000rpm dengan tork 14Nm @ 6,500rpm.

Untuk musim 2022, Tricity 155 turut menerima beberapa naik taraf terkini seperti mana yang diterima oleh Tricity 125, antaranya termasuklah enjin Blue Core dengan teknologi VVA yang kini patuh piawaian emisi Euro 5 dan casis rekaan baharu yang lebih selesa. Turut melengkapi model berkenaan ialah Starter Generator Control Unit (SGCU), Smart Motor Generator dan sistem Stop-and-Start yang cekap, senyap dan lebih mesra alam.

Selain itu, sistem stereng pada Tricity 155 telah dioptimumkan semula rekaannya, panel meter digital LCD kini mempunyai sambungan ke telefon pintar, dilengkapi sistem kunci Smart Key baharu, suspensi belakang telah dipertingkatkan kemampuannya, ruang kaki kini lebih luas, dan lampu LED depannya kini lebih terang dengan pancaran lebih luas.

Berbanding Tricity 125, Tricity 155 mempunyai beberapa kelebihan, seperti sistem brek cakera yang dilengkapi ABS, poket depan lengkap dengan soket kuasa, dan ianya turut dilengkapi brek parking sebagai ciri keselamatan tambahan. Yamaha Tricity 155 2022 di pasaran Eropah mempunyai pilihan warna Petrol Blue, Sand Grey dan juga Matt Grey.