Yamaha X Force ABS 2022 diperkenalkan di pasaran Jepun, harga jualan bersamaan RM 13,027.83

Yamaha pada tarikh 08hb. Jun 2022 baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan model skuter terbaharu Yamaha X Force ABS 2022 untuk pasaran domestik Jepun, yang akan berada di pasaran secara rasmi mulai tarikh 28hb. Jun 2022. Harga jualan untuk model tersebut ialah 396,000 Yen (RM 13,027.83), dan tampil dengan empat pilihan warna.

Yamaha X Force ABS mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, dan dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 155cc (liquid cooled, 4 stroke, SOHC, 4 valves) dengan VVA dan dipadankan sistem transmisi automatik CVT. Enjin berprestasi, cekap dan ekonomi itu menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 8,000rpm dengan tork 14Nm @ 6,500rpm.

Antara spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada Yamaha X Force ABS ialah handlebar jenis rata (flat) dengan gaya tunggangan motard yang sporty dan lincah, rangka yang ringan dan kukuh, ruang storan di bawah tempat duduk seluas 23.3 liter dan boleh menyimpan helmet, lampu belakang LED, dan mempunyai sistem sambungan Yamaha Y-Connect.

Selain itu, Yamaha X Force ABS 2022 turut dilengkapi teknologi Smart Motor Generator, Traction Control, brek cakera dengan ABS, serta panel meter digital pelbagai informasi. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 815 mm, jarak kelegaan bumi minimum 125 mm, berat 130 kg, dan tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 6.1 liter.