CFMoto USA ketika ini menawarkan beberapa buah model motosikal yang menarik dan sporty, antaranya termasuklah model kompak CFMoto Papio 2022. Untuk pasaran USA, model tersebut ditawarkan dengan harga sebanyak $2,999.00, bersamaan nilai semasa RM 13,193.80, serta tampil dengan dua pilihan warna Yellow dan Grey / Red Dragon.
CFMoto Papio mempunyai dimensi panjang x lebar x tinggi 1,724 × 750 × 995 mm, dan ketinggian tempat duduknya hanya 775 mm. Berat motosikal yang mudah dikendalikan itu pula ialah 114 kg (curb weight). CFMoto Papio mempunyai tangki bahan api 7.0 liter, dan ianya berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-12 dan 130/70-12.
Beralih ke bahagian enjin, ianya bersesaran 126cc (single cylinder, 4-stroke, air cooled, EFI) dengan kuasa maksimum 9.3hp @ 8,500rpm dan tork puncak 8.3Nm @ 6,500rpm, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Sistem suspensinya ialah fork depan teleskopik dan suspensi belakang monoshock yang berada pada posisi tengah.
Sistem brek cakera CFMoto Papio di bahagian depan ialah J.Juan 300 mm dengan dua piston kaliper, bersama-sama cakera belakang 190 mm (single-piston floating caliper). Melengkapkan lagi spesifikasi model tersebut ialah panel meter digital LCD dan sistem lampu LED sepenuhnya. Adakah model ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia?