Honda CBR1000RR-R Fireblade 2022 terima naik taraf terkini

Model supersport Honda CBR1000RR-R Fireblade 2022 diperkenalkan pada November 2021 yang lepas, dalam satu pilihan warna Grand Prix Red. Berbanding versi terdahulu, skim warna tersebut kini tampil dengan ruang nombor plat di bahagian depan berwarna putih, termasuklah kemaskini terbaharu pada warna grafik di bahagian sisi fairingnya.

Di bahagian teknikal, prestasi pecutan model tersebut dalam kelajuan pertengahan kini telah dipertingkatkan, melalui semakan semula terhadap intake port, peti udara, corong peti udara dan bahagian tengah ekzos. Sproket pemacu akhirnya pula telah menerima 3 gigi tambahan, kepada 43 gigi, untuk pecutan yang lebih kuat melalui setiap nisbah.

Naik taraf lain termasuklah teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang kini telah dioptimumkan kemampuannya, dan Throttle By Wire (TBW) kini telah dikurangkan beban springnya. Material baharu dan kemasan permukaan untuk omboh kaliper sistem brek depan Nissin kini meningkatkan prestasi brek dan konsistensi dalam perlumbaan.

Selanjutnya, Honda CBR1000RR-R Fireblade 2022 masih mengekalkan casis terdahulu (aluminium diamond-style frame), HESD (3-level Honda Electronic Steering Damper), sistem suspensi Showa, sepasang winglet untuk janaan downforce, panel meter digital TFT yang menawarkan pelbagai kawalan elektronik, dan turut dibekalkan Smart Key.

Honda CBR1000RR-R Fireblade dikuasakan enjin bersesaran 1,000cc (Liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC Inline-4) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Hamburan kuasa maksimum enjinnya mencapai 214hp (160kW) @ 14,500rpm dengan tork puncak 112Nm @ 12,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 16.1 liter.

Tayar depan dan belakang Honda CBR1000RR-R Fireblade didatangkan dalam ukuran 120/70-ZR17 dan 200/55-ZR17. Untuk tahap keselamatan tertinggi, jentera seberat 201 kg itu tampil dengan brek cakera depan Nissin (330mm disc with radial-mount 4-piston), brek cakera belakang Brembo (220mm disc with 2-piston) dan sistem ABS dua saluran.