Kawasaki baru saja memperkenalkan sebuah model terbaharu, namun ianya bukanlah sebuah motosikal seperti mana kebiasaannya, sebaliknya adalah sebuah basikal yang dikenali sebagai Kawasaki Elektrode 2023. Menurut Kawasaki, basikal elektrik tersebut direka untuk kegunaan kanak-kanak di antara usia seawal 3 tahun sehingga 8 tahun.
Berbanding motosikal dengan enjin kecil, Kawasaki Elektrode yang dilengkapi dengan motor elektrik ini adalah lebih ringan, lebih selamat dan lebih senyap, dan sangat sesuai untuk dijadikan jentera pertama kanak-kanak sebelum beralih kepada motosikal bersaiz lebih besar. Ianya merupakan langkah pertama sebelum menjadi pelumba berkaliber.
Untuk pasaran USA, Kawasaki Elektrode ini ditawarkan dengan harga jualan $1,099.00, bersamaan nilai RM 4,826.81. Basikal elektrik atau ‘electric balance bike’ ini mempunyai satu pilihan warna sahaja iaitu Lime Green. Rekaannya diilhamkan daripada motosikal motocross dalam siri KX, dengan kelengkapan tayar off-road dan nombor plat depan.
Kawasaki Elektrode dilengkapi motor elektrik (air-cooled, brushless, in-wheel) dengan kuasa pecutan maksimum 250 watts dari tayar belakangnya. Bateri lithium-ion berada di bahagian kerangka depan (in-frame), dan mengambil masa hanya 2.5 jam sahaja untuk dicas penuh. Ianya mampu bertahan sehingga 2.5 jam atau sehingga 9 batu perjalanan.
Terdapat 3 mod kuasa pecutan untuk Kawasaki Elektrode, iaitu low / mid / high, masing-masing dengan kelajuan 5 mph, 7.5 mph dan 13 mph. Tiga mod kelajuan tersebut boleh diselaraskan dengan mudah menggunakan skrin LCD yang berada di handlebar. Untuk keselamatan, perubahan mod kelajuan didatangkan dengan kod laluan kunci ibu bapa.
Kawasaki Elektrode dibangunkan dengan kerangka aluminium yang ringan serta pusat graviti yang rendah, dilengkapi ciri-ciri seperti tempat duduk, posisi handlebar dan tahap brek yang boleh dilaraskan, brek cakera premium, roda bersaiz 16 inci (durable 16″ cast aluminum wheels and pneumatic tires), dan beratnya hanyalah 14.5 kg (curb mass).