Yamaha Jupiter Z1 2022 tampil dengan warna dan jalur grafik baharu di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 5,795.33

Yamaha di pasaran Indonesia hari ini rasmi melancarkan model moped Yamaha Jupiter Z1 2022, yang kini tampil dengan skim warna dan jalur grafik baharu yang lebih segar dan sporty. Tiga pilihan warna baharu berkenaan ialah Metallic Cyan, Metallic Red dan Metallic Black, dan ditawarkan dengan harga jualan Rp. 19,020,000 (RM 5,795.33).

Yamaha Jupiter Z1 2022 kekal dikuasakan enjin dalam sesaran 113.7cc (single cylinder, air-cooled, SOHC) dengan padanan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin itu mencapai 9.9hp (7.4kW) @ 7,750rpm dengan tork maksimum 9.8Nm @ 6,750rpm. Tangki bahan apinya turut kekal dengan kapasiti maksimum 4.1 liter.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain pada model itu termasuklah sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, lampu depan berkembar, lampu belakang yang bersepadu, rekaan badan yang aerodinamik, enjin yang kuat melalui penggunaan teknologi Forged Piston, sistem brek jenis cakera di bahagian roda depan, dan penampilan rim aloi yang sporty.

Untuk pasaran Malaysia, kembar kepada Yamaha Jupiter Z1 ini ialah Yamaha Lagenda 115Z, dan kali terakhir ianya menerima kemaskini skim warna baharu ialah pada bulan September 2020 yang lalu. Adakah Yamaha Lagenda 115Z akan turut menerima warna baharu selepas ini, dan jualannya di pasaran Malaysia akan diteruskan oleh HLYM?