WMoto SX2-300 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 18,888.00

Khusus untuk peminat motosikal lasak dalam segmen motocross di pasaran tempatan, WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings) kelmarin dengan rasminya telah melancarkan sebuah model baharu iaitu WMoto SX2-300 2022. Motosikal tersebut sebelum ini telah pun menjadi pilihan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai aset dalam Ops Benteng.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto SX2-300 ini tampil dengan tiga pilihan warna menarik, manakala harga jualan asasnya ditetapkan sebanyak RM 18,888.00. Di bahagian enjin, ianya dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 292.4cc dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api, dan digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimum enjin itu ialah 28hp @ 9,000rpm, dengan tork 25Nm @ 6,500rpm.

Menurut WMoto Malaysia, SX2-300 adalah sesuai untuk kegunaan harian, termasuklah untuk pelbagai aktiviti lasak di laluan yang serba mencabar. Antara ciri-ciri dan pelbagai kelebihan yang ditawarkan oleh model tersebut ialah tangki bahan api 11 liter, saiz tayar depan 19 inci, tayar belakang 17 inci, tayar jenis dual-purpose, tempat duduk fleksibel,  handguard, serta brek cakera dengan sistem ABS dual-channel yang boleh dimatikan.

Melengkapkan lagi spesifikasi WMoto SX2-300 2022 ialah fork depan terbalik, suspensi belakang monoshock, panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya dan port pengecas USB untuk mengecas telefon. Tempoh jaminannya ialah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan, termasuk pembelian alat ganti tulen secara di atas talian.

Sumber : MotoMalaya.net