Model sport heritage terbaharu Yamaha XSR700 2022 telah diperkenalkan di pasaran Eropah pada penghujung tahun yang lepas. Untuk pasaran Jepun pula, model tersebut telah berada di pasaran secara rasmi bermula tarikh 08hb. April 2022 yang lalu, dengan harga jualan sebanyak 935,000 Yen, bersamaan nilai RM 31,657.96 (kadar semasa).
Sama seperti di pasaran Eropah, Yamaha XSR700 ABS 2022 untuk pasaran Jepun ini turut ditawarkan dengan dua pilihan warna dan grafik yang menarik, inspirasi daripada model lama Yamaha. Di bahagian enjin ianya berkapasiti 688cc dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa 73PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.
Melengkapkan lagi spesifikasi model bergaya retro moden itu ialah tangki bahan api 14 liter, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, roda depan 120/70-R17 dan roda belakang 180/55-R17, tinggi tempat duduk 835 mm, jarak kelegaan bumi minimum 140 mm, sistem lampu LED, panel meter digital LCD, dan berat 188 kg (wet weight).
Menurut Yamaha, XSR700 ABS kini menggunakan tayar baharu yang menggabungkan prestasi dan keselesaan, dan brek cakera depan berkembar kini mempunyai saiz yang lebih besar untuk operasi brek yang lebih berkesan. Akhir sekali model berkenaan kekal dengan ciri tunggangannya yang santai, dan juga mudah untuk menjalani kustomisasi.