Pada tarikh 03hb. Mei 2022 baru-baru ini, Kawasaki Ninja ZX-6R 2023 secara rasminya diperkenalkan di pasaran USA. Sama seperti model tahun 2022 yang lepas, dua pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah Metallic Matte Twilight Blue / Metallic Diablo Black dan Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Diablo Black. Bagi pilihan warna Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White (KRT Edition), warna itu kini tidak lagi ditawarkan.
Beralih ke bahagian spesifikasi, nampaknya Kawasaki Ninja ZX-6R 2023 kekal dengan spesifikasi terdahulu tanpa sebarang naik taraf terbaharu. Model berkenaan dikuasakan enjin 636cc (4-stroke, In-Line Four, DOHC, 16-valve, liquid-cooled), yang kemudiannya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu ialah 136PS @ 13,500rpm, dengan tork maksimum 70.8Nm @ 11,000rpm.
Sebagai sebuah jentera sport kelas pertengahan berprestasi tinggi, Ninja ZX-6R tampil dengan pelbagai ciri-ciri menarik, antaranya termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter (KQS), fork depan daripada SHOWA SFF-BP 41 mm, Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Traction Control (KTRC), lampu depan dan belakang LED, serta paparan skrin LCD dengan pelbagai informasi penting.
Model tersebut seterusnya dilengkapi tangki bahan api maksimum 17 liter, dan beratnya mencapai 193 kg. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencecah 280 km/j, yang pastinya sangat impresif. Untuk pasaran USA, harga jualannya ialah $10,699.00 (RM 46,856.27) untuk pilihan warna Metallic Matte Twilight Blue / Metallic Diablo Black, dan $10,999.00 (RM 48,170.12) untuk warna Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Diablo Black.