Galeri : Longjia XDV 250Si 2022 di pasaran China tampil sporty, skuter adventure dengan enjin 250cc

Pada tarikh 31hb. Mac 2022 yang lepas, model skuter adventure terbaharu Longjia XDV 250Si 2022 rasmi dilancarkan di pasaran China. Harga yang ditawarkan ialah sebanyak CNY 22,980 (RM 15,081.18) bagi versi rim jejari dan CNY 24,980 (RM 16,393.73) untuk versi rim aloi. Pilihan warna menarik yang disediakan pula ialah empat kesemuanya.

Untuk anda yang mungkin belum pernah melihat gambar-gambar menarik model skuter adventure yang sporty itu, kini anda boleh melihatnya dalam galeri di bawah. Ternyata Longjia XDV 250Si 2022 ini mempunyai penampilan yang cukup bergaya, dan apa yang lebih menarik ialah ianya dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Melihat kepada spesifikasinya, model tersebut dilengkapi enjin 244.3cc (single-cylinder, liquid-cooled, four-valves, SOHC) dengan kuasa maksimum 24.13 @ 8,750rpm dan tork setinggi 22.5Nm @ 6,750rpm. Dengan prestasi seperti itu dan mempunyai berat 168 kg (curb weight), model itu dikatakan mampu mencatatkan kelajuan maksimum 130 km/j.

Spesifikasi teknikal lain adalah seperti fork depan upside-down, suspensi belakang KYB dengan subtank, sistem brek cakera depan dan belakang J. Juan dengan ABS, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter TFT bersaiz 5.0 inci dengan teknologi sambungan telefon, port pengecas 12V, skrin boleh laras dan handlebar aloi aluminium yang ringan.

Sumber gambar : newmotor.com.cn