Honda ADV160 2023 dijangka bakal dilancarkan dengan enjin terbaharu eSP+ 4-valve 157cc yang lebih berprestasi

Masih lagi panas dengan pelancaran model skuter terbaharu iaitu Honda Air Blade 160 2023 di pasaran Vietnam, kini telah terdengar pula ura-ura mengenai pelancaran model terbaharu Honda ADV160 2023. Sebenarnya khabar angin mengenai pelancaran model skuter adventure itu dengan enjin terbaharu dalam segmen 160cc telah lama tersebar.

Cuma khabar angin itu kini bertiup semakin kencang selepas pelancaran model Honda PCX160, Honda Vario 160, dan terkini Honda Air Blade 160. Setiap model berkenaan dikuasakan enjin yang sama iaitu enjin eSP+ generasi baharu dengan teknologi 4-valve yang menawarkan prestasi yang lebih baik, dan pada masa yang sama lebih ekonomi.

Jadi secara logiknya, sudah tentu Honda ADV150 yang berada di pasaran pada ketika ini akan turut menerima naik taraf yang serupa, dan bakal dilancarkan semula sebagai model Honda ADV160 2023. Bagaimanapun pelancarannya mungkin tidak akan berlaku pada tahun ini, sebaliknya ianya dijangka akan muncul secara rasmi pada tahun 2023.

Apabila dilancarkan nanti, Honda ADV160 akan mempunyai jumlah prestasi enjin yang sama dengan model Honda PCX160, yang kini berada pada paras maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Bagaimanapun, enjin eSP+ 157cc pada Honda ADV160 mungkin akan ditala semula bagi meningkatkan lagi prestasinya.

Dari segi reka bentuk dan penampilan, Honda ADV160 juga diramalkan akan mengikuti jejak PCX160 dan Vario 160 yang kini tampil dengan kemaskini ‘facelift’ terbaharu yang kelihatan lebih segar dan lebih moden. Ciri-ciri baharu yang dipertingkatkan juga akan turut diperkenalkan, malah mungkin lebih canggih berbanding model Honda ADV150.

Jika berdasarkan pelancaran Honda ADV150 sebelum ini, Honda ADV160 semestinya akan dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Indonesia, Filipina, Thailand, Jepun, dan kemudiannya akan diikuti oleh pasaran USA, Australia, Singapura, Kemboja, Brazil dan beberapa pasaran global yang lain. Pasaran Malaysia mungkin akan sedikit terlewat.

Namun setakat ini pihak Honda masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pembangunan atau pelancaran Honda ADV160 2023 serba baharu. Biasanya pihak Honda begitu cekap dan bijak sekali dalam menyembunyikan sebarang maklumat yang berkaitan, kecuali apabila model tersebut telah menjalani ujian rasmi di jalan raya.