Aprilia Malaysia secara rasminya melancarkan model terbaharu Aprilia Tuareg 660 2022 untuk pasaran tempatan. Model tersebut tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Indaco Tagelmust, Acid Gold dan Martial Red. Harga pengenalan yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM 75,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Aprilia Tuareg 660 merupakan sebuah model adventure yang dikuasakan enjin paralled-twin 660cc, memiliki kuasa maksimum 80hp @ 9,250rpm dengan tork maksimum 70Nm @ 6,500rpm. Berat keringnya hanya seringan 187 kg, di samping mempunyai kerangka yang kukuh dengan agihan berat yang sepadan, serta jarak rodanya sekitar 1,500 mm.
Untuk aktiviti penjelajahan tanpa kompromi, fork depan 43 mm digandingkan bersama-sama sistem suspensi “progressive linkage monoshock” pada bahagian belakang, yang mana kedua-duanya hadir dengan travel 240 mm dan boleh dilaraskan. Brek depan dan belakang pula disempurnakan oleh kaliper Brembo, bersama-sama ABS dua saluran.
Teknologi canggih yang melengkapi Tuareg 660 adalah seperti empat mod tunggangan (dua daripadanya boleh disesuaikan, dan satu dikhususkan untuk tunggangan off-road), ABS yang boleh dinyahaktifkan di kedua-dua roda atau di belakang sahaja, dan sistem APRC lengkap dengan Traction Control, Cruise Control, Engine Map dan Engine Brake.
Menurut Aprilia, semua itu boleh diakses melalui skrin TFT 5″ dengan tahap pandangan yang jelas. Tinggi tempat duduk berada pada paras 860 mm, sementara jarak kelegaan bumi melangkaui 240 mm. Akhir sekali, Aprilia Tuareg 660 2022 dilengkapi tangki bahan dengan kapasiti penuh 18 liter, memastikan jentera itu melakukan perjalanan lebih jauh.