Kawasaki KLX300SM 2023 diperkenalkan di pasaran USA, harga jualan $6,299.00

Pada awal bulan Mei 2022 baru-baru ini, Kawasaki dengan rasminya memperkenalkan model supermoto terbaharu iaitu Kawasaki KLX300SM 2023 untuk pasaran USA. Hadir dalam pilihan warna Neon Green dan Ebony yang kelihatan cukup menyerlah, model itu ditawarkan dengan harga jualan sebanyak $6,299.00, bersamaan nilai RM 27,687.25.

Kawasaki KLX300SM dikuasakan enjin yang bersesaran 292cc (4-stroke single, DOHC, liquid-cooled), yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork yang dijana oleh enjin itu bagaimanapun tidak diumumkan. Model lincah dan agresif itu mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti penuh 7.5 liter (2.0 gallon).

Sebagai sebuah model supermoto sebenar, Kawasaki KLX300SM 2023 turut dilengkapi dengan pelbagai komponen yang bersesuaian. Antaranya seperti sistem suspensi yang ditala khusus, roda depan 110/70-17 dan roda belakang 130/70-17 yang disarung tayar jalanan, dan sistem brek cakera jenis petal di depan 300 mm dan belakang 240 mm.

Kawalan dan pengendalian Kawasaki KLX300SM yang lincah sama ada di jalanan atau trek disokong oleh casis Semi Double Cradle dengan keluli tegangan tinggi, yang mana ianya menawarkan pakej yang ringan dan langsing. Melengkapkan model supermoto itu ialah panel meter digital pelbagai info dan tempat duduk dengan ketinggian 861 mm.