Yamaha 135LC Fi 2022 merupakan sebuah model moped terbaharu yang dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada bulan Mac 2022 yang lepas. Ketika ianya dilancarkan, model tersebut dikatakan hanya eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja. Namun kini kenyataan itu mungkin tidak lagi relevan, dan bakal berubah tidak lama lagi.
Menurut sumber daripada negara jiran Indonesia, Yamaha 135LC Fi 2022 kini telah pun muncul dalam laman sesawang rasmi Pangkalan Data Kekayaan Intelektual milik salah satu kementerian di sana, dan ianya telah dipatenkan menjelang pelancaran rasminya untuk pasaran negara jiran itu tidak lama lagi, kemungkinan dalam tahun 2022 ini juga.
Untuk pasaran Indonesia, Yamaha 135LC Fi 2022 dijangka akan menggunakan nama Yamaha Jupiter MX135, dan ianya adalah kemunculan kembali model berkenaan yang sebelum ini telah dihentikan jualannya. Dengan pelancaran di pasaran Indonesia nanti, adakah bermakna model tersebut juga akan dilancarkan di pasaran ASEAN yang lain?
Kita imbas kembali spesifikasi Yamaha 135LC Fi 2022, yang mana ianya tampil dengan enjin bersesaran 135cc dan kotak gear empat kelajuan. Jumlah kuasa yang ditawarkan mencapai 12.47hp @ 8,000rpm, dengan tork maksimum 12.2Nm @ 6,000rpm. Enjin itu dilengkapi sistem Fuel Injection, dan paling menarik ianya kekal dengan klac automatik.
Selain itu, ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha 135LC Fi 2022 ini termasuklah lampu depan dan belakang LED, panel meter digital, tangki petrol 4.6 liter, brek cakera depan dan belakang, serta eksklusif bakul Yamaha 2-dalam-1 (varian SE sahaja), yang mana ianya hadir dengan ruang soket pengecas USB tertutup untuk melindungi gajet.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha 135LC Fi 2022 ditawarkan dengan harga jualan asas bermula dari hanya RM 7,798.00 untuk varian Standard, dan RM 8,198.00 untuk varian Special Edition (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Setiap pembelian juga akan menerima kunci cakera Yamaha secara percuma yang bernilai RM 100.00.