Menurut sumber terkini, model adventure terbaharu iaitu QJ Motor SRT800 2022 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 15hb. Mei 2022 (Ahad). Model itu sebelum ini telah pun dipertontonkan secara rasmi kepada pihak media pada bulan Januari 2022 yang lepas, bertempat di Benelli Best Shop Alor Setar by Men Huat Motors Sdn. Bhd.
Berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, QJ Motor SRT800 untuk pasaran Malaysia bakal ditawarkan dalam dua versi, iaitu dengan rim aloi dan rim lidi. Spesifikasi enjinnya ialah berkapasiti 754cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 8 valves, DOHC) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 80hp @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm.
Dengan berat masing-masing 236 kg dan 256 kg, model kembara itu dikatakan memiliki tahap kelajuan maksimum mencecah 200 km/j. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh pula, ianya dilengkapi tangki bahan api 18.5 liter. Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi QJ Motor SRT800 antaranya termasuklah casis dan lengan ayun yang kuat, fork depan USD, sistem brek Brembo dengan ABS, lampu LED dan juga panel meter digital IPS.
Sebagai sebuah model adventure dan juga touring sebenar, QJ Motor SRT800 ini turut dilengkapi set lengkap kotak barangan sisi dan atas, khusus untuk kemudahan sewaktu aktiviti pengembaraan jarak jauh. Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat dan juga harga jualannya, sama-samalah kita nantikan pelancaran rasminya tidak lama lagi.