India Yamaha Motor (IYM) Pvt Ltd. kelmarin rasmi melancarkan model naked Yamaha MT-15 Version 2.0 2022, dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik. Model tersebut kini menampilkan fork depan jenis terbalik 37 mm, swing arm aluminium dan panel instrumen digital baharu dengan sambungan Bluetooth ke aplikasi Y-Connect.
Spesifikasi lain adalah sama seperti mana Yamaha MT-15 2021, serta tampil eksklusif untuk pasaran India dengan tiga ciri tambahan iaitu ‘In-built Side Stand Engine Cut-Off Switch’, ‘Uni-level Seat with Grab Bar’ dan ‘Saree Guard’. Pilihan warna terdiri daripada empat kesemuanya, dan harga jualan bermula dari hanya INR 1,59,900 (RM 8,891.40).
Yamaha MT-15 Version 2.0 2022 ini kekal dikuasakan enjin berkapasiti 155cc VVA yang digandingkan kotak gear enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 18.4PS @ 10,000rpm, dengan tork puncak 14.1Nm @ 7,500rpm. Model naked tersebut seterusnya dilengkapi tangki bahan api penuh 10 liter.
Spesifikasi lain antaranya termasuklah kerangka deltabox, lampu depan dan belakang LED, suspensi belakang monoshock, brek depan dan belakang cakera, Single Channel ABS, tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 100/80-17 dan 140/70R-17, tinggi tempat duduk 810 mm, jarak kelegaan bumi minimum 170 mm, dan berat 139 kg.
Untuk pasaran Malaysia pula, Yamaha MT-15 2021 yang diperkenalkan dengan pilihan warna terbaharu sehingga kini masih belum dilengkapi sistem sambungan Bluetooth ke aplikasi Y-Connect. Diharapkan untuk versi seterusnya nanti, HLYM akan menawarkan ciri canggih dan praktikal itu, namun harga jualan asasnya nanti pasti akan meningkat.