CFMOTO 650MT 2022 kini di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 31,500.00

CFMOTO Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan bahawa model touring CFMOTO 650MT 2022 kini secara rasminya berada di pasaran tempatan. Model berkenaan tampil dalam dua pilihan warna iaitu Athens Blue dan Nebula White, manakala harga asasnya ditetapkan sebanyak RM 31,500.00 (tanpa kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Berbanding model tahun sebelumnya, CFMOTO 650MT 2022 kini didatangkan dengan dua ciri baharu berupa panel instrumen digital TFT berwarna bersaiz 5.0 inci, dan tayar Pirelli Gran Turismo Sport Touring. Enjinnya kekal bersesaran 649.3cc (2-cylinder inline, 4-stroke, liquid cooled), yang digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

CFMOTO 650MT merupakan sebuah model touring dengan prestasi yang memuaskan, di mana enjin yang turut dilengkapi sistem Bosch EFI itu menawarkan kuasa maksimum 71hp @ 8,750rpm dengan tork maksimum 56Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai 170 km/j. Untuk perjalanan lebih jauh, model tersebut kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 18 liter, dengan jarak perjalanan mencecah angka 400 km.

Selain itu, ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah fork depan jenis upside down boleh laras, sistem brek cakera J.Juan dengan Continental ABS, port pengecasan USB, dua mod tunggangan, sistem lampu LED sepenuhnya, set crash bar di bahagian depan, sisi dan enjin, tinggi tempat duduk 840 mm, jarak kelegaan bumi 170 mm, skrin penghadang angin yang besar, dan tayar dalam siri 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17.

Untuk ketenangan minda pemiliknya, tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun, dengan jarak perbatuan tanpa had. Untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap atau untuk membuat tempahan, anda boleh kunjungi mana-mana cawangan pengedar CFMOTO Malaysia yang terdekat. Unit yang tersedia dikatakan dalam kuantiti terhad.